Suami Isteri Maut Langgar Kereta Keluar Simpang Secara Mengejut. Al Fatihah

....
Suami Isteri Maut Langgar Kereta Keluar Simpang Secara Mengejut. Al Fatihah


GERIK – Sepasang suami isteri maut selepas skuter jenis KYMCO yang ditunggang mereka terlibat nahas dengan sebuah kereta di Kilometer 32.3, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu di sini petang tadi.

Dalam kejadian sekitar pukul 6 petang berhampiran Pusat Rekreasi Lata Kekabu itu, mangsa, Azranawi Radzi, 42, maut di tempat kejadian manakala isterinya, Rosnah Ahmad, 44, meninggal dunia di Klinik Kesihatan Lenggong.

Kemalangan itu turut menyebabkan remaja lelaki berusia 14 tahun patah betis kiri dan bahu kanan manakala bapanya yang memandu Proton Iswara tidak cedera.



Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa dan isteri yang menunggang skuter dalam perjalanan dari arah Gerik menghala ke Kuala Kangsar.

Katanya, kejadian berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Iswara yang dipandu lelaki berusia 47 tahun telah keluar secara mengejut dari simpang kanan.

“Mangsa bagaimanapun tidak sempat mengelak berikutan jarak terlalu dekat lalu melanggar bahagian sisi belakang kenderaan terbabit.

“Penunggang motosikal maut di tempat kejadian manakala isterinya meninggal dunia di Klinik Kesihatan Lenggong. Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat esok,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemandu kereta ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE
.... Baca Halaman Selanjutnya